solat jumaat mengikut mazhab syafie

Artikel ini berkaitan dengan solat jumaat mengikut mazhab syafie untuk kefahaman kita bersama:

Solat Jumaat ialah solat fardu (dua rakaat) yang dilakukan pada hari Jumaat menggantikan solat Zohor, dan ia dilakukan secara berjemaah selepas mendengar Khutbah Jumaat. Solat Jumaat itu hukumnya Fardu Ain, iaitu wajib dikerjakan atas setiap mukallaf dengan syarat-syarat tertentu.

Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah [dengan mengerjakan solat Jumaat] dan tinggalkanlah berjual beli [pada saat itu]; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui [hakikat yang sebenarnya],

” (Surah Al-Jumu’ah: 9)”

Sabda Rasulullah SAW:
“Solat Jumaat itu hak wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang Islam dengan berjemaah, kecuali empat jenis manusia: hamba sahaya yang dimiliki, perempuan, anak-anak, dan orang yang sakit.” (Hadis Riwayat Abu Dawud & Hakim).”

Berikut ialah syarat wajib solat Jumaat:-

Islam – tidak wajib bagi orang kafir.
Baligh – tidak wajib bagi kanak-kanak yang belum baligh.
Berakal – tidak wajib bagi orang yang gila.
Merdeka – tidak wajib ke atas hamba abdi.
Lelaki – tidak diwajibkan untuk orang perempuan.
Sihat – tidak wajib bagi orang yang uzur dan berhalangan.
Bermastautin atau bermukim – tidak wajib bagi orang yang musafir.

Berikut pula syarat sah solat Jumaat:-

Didirikan di dalam waktu Zuhur.
Tempat mendirikan solat Jumaat itu hendaklah di suatu tempat yang telah ditetapkan seperti masjid, dewan, padang dan sebagainya.
Mestilah berjemaah dengan sekurang-kurangnya 40 orang yang tinggal tetap di kawasan itu.
Didahului dengan dua khutbah – rujuk (Khutbah Jumaat).

Haram tinggalkan solat Jumaat

Meninggalkan solat Jumaat merupakan perbuatan yang ditegah kerana solat Jumaat hukumnya adalah wajib, fardu ain ke atas setiap individu muslim. Orang yang meringan-ringankan hukum Allah ini akan mengundang kemurkaanNya dan mereka bakal menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukan. Bahkan orang yang enggan mentaati suruhan Allah, pintu hatinya lama kelamaan akan tertutup daripada mendapat hidayah dan menjadikan mereka semakin sesat dan terus melakukan dosa-dosa yang lain.

Dari Abu Jakdi ad-Dhamri bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat 3 kali dengan sengaja, maka Allah SWT akan menutup hatinya daripada menerima petunjuk” (Hadis riwayat Abu Daud)”

About these ads

Komentar ditutup.