Sifat Orang Mukmin Suka Bersedekah dan Bantu Membantu Kerana Allah

Sifat Orang Mukmin Suka Bersedekah dan Bantu Membantu Kerana Allah
oleh Abu Basyer pada 14 Agustus 2011 jam 7:05

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya: “Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar. Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredaannya di dalam hatinya pada hari kiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya(ketika melalui pada hari kiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu.”

(Hadis Riwayat Ibnu Abi Dunya)

Berdasarkan hadis di atas sikap yang baik dan sanggup memberikan pertolongan adalah akhlak terpuji yang sangat dicintai oleh Allah SWT. Setiap orang mukmin akan berusaha sebaik mungkin ketika di dunia ini untuk melakukan amal soleh dan amal kebaikan semoga dirahmati dan diredai oleh Allah SWT samaada di dunia dan akhirat.

Amalan tersebut adalah seperti berikut :

1. Memberi manfaat kepada orang lain.

2. Mengembirakan hati orang Islam.

3. Menghilangkan kesusahannya.

4. Menunaikan keperluan hidupnya dan memberi makan orang yang lapar.

5. Menunaikan hajatnya.

6. Menahan kemarahannya sekali pun dia mampu membalasnya.

7. Akhlak yang buruk akan merosakkan amalan.

Firman Allah SWT maksudnya :“Hai orang-orang yang beriman , sukakah kamu (bila) aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari api neraka? (Yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad dijalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya ; Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu kedalam syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai , dan memasukkan (kamu) ketempat tinggal yang baik didalam Syurga ‘Adn. Itulah keberuntungan yang besar. (Surah Ash-shaff ayat 10-12)

Sebagai pengajaran yang boleh kita ambil daripada sirah pengorbanan dan sifat suka membantu mereka yang memerlukan bantuan adalah seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Saidina Uthman bin Affan r.a.

Salah seorang sahabat terkemuka Rasulullah SAW iaitu Saidina Ustman Bin Afffan r.a, adalah seorang peniaga besar Madinah.

Suatu ketika Madinah mengalami masa kesusahan yang sangat parah akibat masa kemarau yang berkepanjangan. Tumbuh-tumbuhan dan hewan banyak yang mati. Masyarakat Madinah banyak yang mengalami kelaparan. Pada masa gawat itu, datang rombongan kafilah dari negeri Syam membawa barang dagangan yang sebagian besar berupa makanan. Rupanya barang dagangan itu kepunyaan Ustman bin Affan. Para peniaga Madinah berebutan ingin membelinya dengan maksud akan dijual kembali kepada masyarakat yang memang sangat memerlukankan dengan harga berlipat-lipat . Mereka menawar barang dagangan itu dengan harga tiga kali ganda dari harga pembeliannya.

Tetapi tawaran yang sangat menguntungkan itu ditolak oleh Ustman bin Affan, “Maafkan saya , barang dagangan ini telah terjual dengan harga yang lebih besar dari itu!” Tentu saja para peniaga itu menjadi hairan , siapa orang yang berani membeli dengan harga tinggi itu. Mereka pun bertanya , “Wahai sahabat, siapakah orangnya yang telah membeli barang daganganmu dengan harga sangat tinggi itu?”

Usman pun menjawab singkat , “Allah!”.

Dengan keheranan mereka balik bertanya , “Bagaimana caranya Allah memberikan keuntungan itu kepadamu? “

Jawab Ustman, “Allah menjanjikan kepadaku keuntungan tidak kurang dari 700 kali ganda, tidakkah kalian ingat janji Allah itu dalam Al-Quran?” lalu Ustmanpun membacakan firman Allah SWT maksudnya : “Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya dijalan Allah , tak ubahnya sebutir biji yang tumbuh menjadi tujuh tangkai. Pada masing-masing tangkai terdapat 100 butir biji.” (Surah al-Baqarah ayat 261)

Para peniaga itu dengan keheranan bertanya, “ Apakah engkau akan sedekahkan seluruh dagangan yang sangat banyak ini?”

Ustman pun menjawab , “Benar. Seluruhnya aku sedekahkan kepada masyarakat yang menderita kerana kesusahan yang parah ini!”

Kisah ini memberikan gambaran orang-orang yang memiliki kepercayaan penuh pada janji Tuhannya. Tidak ada sedikitpun ragu-ragu diatas janji-janji Allah SWT kepada sesiapa sahaja yang sanggup menginfakkan hartanya dijalan Allah SWT.

Saidina Uthman yakin sungguh-sungguh bahawa Zat Yang Maha Suci, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Tidaklah mungkin akan ingkar janji-Nya.

Firman Allah SWT maksudnya : “Siapakah yang mau memberi pinjaman kepada Allah, Pinjaman yang baik ( menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-NYA lah kamu dikembalikan”.

(Surah al-Baqarah ayat 245)

Sahabat yang dimuliakan,

Oleh kerana manfaat yang cukup besar maka janganlah kita abaikan sedekah yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dan melapangkan kesusahan orang lain. Latihlah diri kita untuk bersedekah dan memberi khidmat masyarakat yang memerlukannya. Jangan tangguh-tangguh untuk membuat kebaikan, mulakanlah dengan sedikit setakat kemampuan kita. Jangan fikir kita akan rugi sebab rezeki yang datang daripada Allah SWT kita tidak tahu dari mana puncanya. Dia akan beri rezeki dari jalan yang tidak di sangka-sangka apabila kita sahut seruan Allah SWT untuk sedekah dan infaq di jalan-Nya dan memberi khidmat percuma tanpa mengharapkan balasan.

About these ads

Komentar ditutup.