KARAKTER PENGHUNI SYURGA DAN NERAKA by Syed Johan Mustaqqim

Syed Johan Mustaqqim
KARAKTER PENGHUNI SYURGA DAN NERAKA

Daripada Harithah bin Wahb,bahawa satu hari Rasulullah s.a.w bersabda kepada para sahabatnya yang bermaksud: “Mahukah kamu semua aku beritahu(sifat-sifat) ahli syurga?”

Para sahabat menjawab:”Ya”. Baginda bersabda lagi:”Setiap orang yang lemah dan dilemahkan(da’if mutada’af),andainya dia meminta kepada Allah,nescaya Allah akan mengabulkan permintaannya. Mahu aku beritahu kepadamu(sifat-sifat) ahli neraka? Setiap orang yang suka bertengkar dengan kasar(‘utul),berlagak(jawwaz) dan sangat sombong(mustakbir).”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabatku,
Ahli syurga dan neraka dapat dikenal pasti sejak di dunia lagi menerusi sifat-sifat yang terdapat dalam diri mereka. Rasulullah s.a.w memberitahu sifat-sifat itu dengan tujuan agar kita dapat bermuhasabah diri. Ini kerana sifat-sifat yang di sebut itu menggambarkan kebanyakan ahli syurga dan neraka.

SIFAT AHLI SYURGA

Salah satu sifat ahli syurga ialah lemah dan dilemahkan,yakni orang fakir dan dihina. Mereka tidak pernah disanjung dan dipuji,malah sering diremehkan kerana keadaan hidupnya. Demikianlah tafsiran makna kalimat(da’if mutada’af) ini menurut para ulama termasuklah Imam al-Nawawi dan al-Hafiz Ibn Hajar.

Sebahagian ulama mentafsirkan dengan makna yang lain. Al-Qadi ‘Iyyad berkata:”Boleh jadi kalimat lemah disini bermakna hati yang lembut,halus dan tunduk kepada keimanan.”

Semua tafsiran itu tidak bercanggah antara satu sama lain malah saling melengkapi. Dengan ini kita dapat merumuskan,ahli syurga memiliki hati yang lemah lembut dan halus,selalu bersikap tawaduk dan menyedari kelemahan diri dihadapan Allah s.w.t.

Bukan mustahil orang seperti ini sering kali diremehkan dalam pergaulan kerana sifat mereka yang enggan menonjolkan diri dan selalu mengalah. Padahal, jika mereka mengangkat tangannya untuk berdoa, Allah pasti memustajabkan setiap apa yang dimintanya.

SIFAT AHLI NERAKA

Apabila kita beralih kepada sifat ahli neraka sebagaimana yang disebutkan Nabi s.a.w, keadaannya songsang 180 darjah. Ahli neraka digambarkan sangat kasar ucapan dan perbuatannya.

Mereka suka bertengkar dan kuat berselisih. Dalam setiap perdebatan,pantang bagi mereka untuk mengalah walaupun perkara itu sangat remeh. Malah mereka enggan mengalah meskipun telah menyedari kesilapan daripada dirinya sendiri. Apabila dinasihati,mereka segera menunjukkan reaksi marah.

Orang seperti ini sangat dibenci Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Manusia yang paling Allah benci ialah orang yang sangat kuat bertengkar.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Aisyah).

Antara sifat ahli neraka yang lain pula adalah sangat angkuh dan sombong. Keangkuhan itu sangat jelas kelihatan dalam penampilan dan gerak-gerinya.

Apabila berjalan,langkah mereka seperti orang yang angkuh. Apabila berbicara,lidah dan bibirnya dibentuk dengan gaya khas. Mereka selalu berbeza dari orang ramai dan meminta untuk dihormati.

Daripada Zaid bin Aslam, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Langit menangis melihat hamba yang diberikan kesihatan badannya,dilapangkan perutnya dan diberi kenikmatan dunia, namun dia sangat zalim sesama manusia.”
(Riwayat Ibn Jarir al-Tabari dengan sanad mursal)

Semua sifat itu berpunca dari HATI YANG KERAS. Hati yang keras akibat daripada dosa-dosa yang telah menutupi cermin hati. Apabila hati telah keras,maka maksiat tidak lagi dirasakan sebagai dosa. Malah maksiat itu terasa begitu “manis” dan “nikmat”.

Pemilik hati yang keras tidak memiliki belas kasihan. Ucapan dan sikapnya tampak kasar walaupun terhadap ibubapanya,anak-anaknya,isteri atau suaminya, apatah lagi kepada kawan-kawannya.

About these ads

Komentar ditutup.